Sunday 30 October 2011

UJIAN AKHIR TAHUN (UPAT 2011)

Bermula hari ini semua sekolah rendah di negeri Kelantan akan mengadakan Ujian Akhir Tahun (UPAT). bagi di peringkat sekolah ini pula sebanyak 10 mata pelajaran yang disediakan untuk pelajar-pelajar menjawab. Namun dalam banyak-banyak mata pelajaran, hanya 5 matapelajaran teras yang dikira untuk menentukan kedudukan dalam kelas dan begitu juga untuk proses streaming (penentuan kedudukan murid dalam kelas 2012).

Sehubungan dengan itu, pihak Panitia Agama Islam ingin mengucapkan"

 "SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPAT, SEMOGA ALLAH MEMPERMUDAHKAN KAMU SEMUA DALAM MENJAWAB SOALAN"

Tips semasa menduduki peperiksaan:-

Saturday 22 October 2011

6 Cara Mudah Membuat Anak Merasa Disayangi


Anak yang enggan solat, keras kepala, tidak mendengar kata dan gemar bergaul bebas – ini hanya sekadar beberapa masalah yang dihadapi ibu bapa. Tahukah anda, salah satu cara paling efektif untuk membuatkan anak lembut hati dan mudah mendengar kata ialah dengan membuatkan dia merasa disayangi?
Sebenarnya membuatkan anak merasa disayangi tidak memerlukan wang ringgit atau perbelanjaan yang banyak. Tidak perlulah anda membelikan hadiah yang mahal atau percutian yang menelan perbelanjaan yang besar. Malah, sekiranya kita membuat anak kita berasa tidak istimewa sepanjang tahun, barang mainan yang mahal atau jamuan hari jadi yang dibuat di hotel lima bintang tidak akan dapat mengubah perasaan yang dirasai anak kita itu. Apa yang penting dalam jangka masa panjang adalah perkara-perkara kecil yang anda lakukan setiap hari.
Ada enam cara mudah yang boleh anda lakukan untuk membuatkan anak merasa disayangi:
1. Ucapkan kata-kata sayang terutama di kala dia sedih
Anak-anak perlu mendengar ucapan kasih sayang ini lebih-lebih lagi sekiranya mereka sedang mengalami masalah atau kemurungan. Contohnya, apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah yang menyusahkan hatinya. Pada saat-saat duka seperti ini, dia perlu tahu yang anda sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan kepadanya.
2. Tunjukkan yang anda gembira apabila berjumpa dengannya
Serlahkan wajah riang ketika menyambut anak anda pulang dari sekolah, umpamanya. Tunjukkan keceriaan bila anda pulang dari bercuti ataupun dari pejabat. Katakan yang anda merinduinya.
3. Perhati dan akui perkara-perkara baik yang dilakukannya
Ibubapa selalunya bertujuan baik apabila menegur kesilapan atau kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak mereka, kerana berharap anak-anak tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Tetapi teguran-teguran ini mengecewakan anak-anak apabila ibubapa tidak nampak dan tidak memuji perkara-perkara baik yang mereka lakukan.
Anak-anak akan berasa kurang bersemangat dan mungkin akan cenderung melakukan perkara-perkara yang buruk hanya untuk menarik perhatian ibubapa. Apabila memuji anak anda, berikanlah kata-kata pujian yang khusus dan jelas serta ikhlas kepada mereka. Sebagai contoh, "Mama gembira sebab Lan mahu berkongsi biskut coklat cip ini dengan nenek" atau "Rajin anak Papa menyimpan semula buku-buku itu setelah dibaca" atau "Papa seronok tengok Liza melukis dan bermain dengan adik."
4. Dengarkan kata-katanya
Apabila anak bersuara dan ingin memberitahu anda sesuatu perkara, tumpukanlah perhatian dan dengarlah apa yang ingin dikatakannya itu. Lihat wajahnya dan hindari diri daripada menyampuk sehingga dia selesai bercakap. Mendengar bukanlah sekadar mendengar dan mengangguk sahaja.
Satu cara untuk menunjukkan kepada anak yang anda betul-betul mendengar apa yang dikatakannya adalah dengan bertanya soalan seperti "Jadi Faris ambil pen kamu tanpa kebenaran kamu?" Mendengar tidak bermakna anda mesti bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh anak anda. Tetapi dengan mendengar, anda boleh membantu anak anda meluahkan isi hatinya serta membuatkannya berasa lega dan tenteram kerana anda mengambil berat di atas kesejahteraannya.
Anak anda akan berfikir, "Mama/Papa mengambil berat terhadap diri saya, jadi saya tak perlu bimbang." Anak anda perlukan keselesaan emosi seperti ini. Kadangkala anak anda perlukan anda mendengar pengakuannya. Ini berlaku kerana mungkin dia merasakan yang dia telah melakukan satu kesalahan dan kesalahan ini membuatkan dia berasa resah gelisah. Sekiranya ini terjadi, kawal diri daripada memarahinya. Sebaliknya, pujilah dia kerana bersikap jujur dan berani berbincang dengan anda. Dia perlu tahu yang anda tidak memandang rendah kepadanya hanya kerana dia telah melakukan kesalahan. Ini bermakna, walaupun dia telah melakukan kesilapan, anda masih menganggapnya istimewa.
5. Luangkan masa untuk melakukan apa yang diingininya
Kanak-kanak mengaitkan kasih sayang dengan perbuatan. Lebih-lebih lagi kanak-kanak kecil, mereka tidak begitu tahu untuk menjelaskan ungkapan ini, tetapi mereka tahu apa itu kasih sayang. Bagi kanak-kanak, kasih sayang adalah apa yang dialami dan dirasainya atau apa yang dilihatnya dilakukan oleh orang lain.
Apa yang anak anda mahu lakukan bersama anda? Menanam pokok bawang untuk projek Sainsnya ataupun membaca sebuah buku cerita bersama-sama atau membaca satu kisah lucu dan ketawa bersama-sama? Mungkin juga membuat dinosaur kertas mengikut model yang terdapat dalam buku origami yang anda baru belikan untuknya atau membuat kentang putar untuk makan malam nanti.
Apa pun yang anda lakukan bersamanya, biarlah dia yang memilih aktivitinya dan jika anda tidak boleh melakukannya serta-merta, tetapkanlah tarikh dan masa yang sesuai untuk anda dan juga untuk dirinya. Aktiviti-aktiviti ini boleh dirancang terlebih dahulu tetapi boleh juga dilakukan secara spontan. Perkara-perkara kecil yang anda lakukan bersama akan meninggalkan kesan mendalam di hati dan perasaan anda berdua.
6. Tunjukkan minat terhadap apa yang diusahakannya
Kanak-kanak gemar menunjukkan kepada kita apa yang sedang mereka lakukan.   Sebagai contoh, jika anak anda yang berusia sembilan tahun sedang menyiapkan dua keping lukisan yang berlainan dan bertanya kepada anda lukisan mana satu yang anda lebih suka, dekati anak anda dan amatilah kedua-dua lukisan dengan penuh minat. Katakan sesuatu yang khusus seperti, "Yang ini lagi cantik sebab Ana melukis pokok dan daunnya dengan jelas. Warnanya pun lebih terang."
Elakkan daripada menjawab secara acuh tak acuh, "Papa tengok sama saja kedua-dua lukisan tu." Ataupun sekiranya anda sedang melihat anak belasan tahun anda bermain badminton, anda boleh memujinya dengan berkata, "Pukulan Ina sekarang semakin baik dan lebih bertenaga."
Ataupun sekiranya dia meminta pendapat anda mengenai karangan yang sedang ditulisnya, anda boleh berkata, "Bahagian pengenalan karangan yang Zul tulis tu memang bagus." Anda mungkin berfikir yang kata-kata pujian akan membuatkan diri anak terlampau berpuas hati dengan dirinya sendiri dan tidak lagi mahu berusaha. Tetapi tiada apa yang lebih memotivasikan seorang anak selain daripada kata-kata perangsang daripada ibubapanya.     Tidak kira dalam keadaan apa pun atau apa pun yang sedang dilakukan oleh anak anda, carilah perkara yang elok dan betul dan berikanlah puji-pujian. Anak anda akan menghargai kata-kata pujian itu dan akan berasa gembira.

Wednesday 19 October 2011

Kisah Pemuda Yang Mengawal Nafsu


Nabi s.a.w berbda dr Abi Hurairah: "Tujuh golongan yg Allah Naungi pd hari tiada naungan melainkan Naungan Allah: (diantranya) dan lelaki yg diajak membuat maksiat oleh wanita yg cantik serta berkedudukan tetapi lelaki itu menjawab "Sesungguhnya aku takut kpd Allah tuhan semesta alam.(Bukhari dan Muslim)

Nabi s.a.w menceritakan tiga orang yg masuk ke dalam gua dan mereka terperangkap di dalamnya setelah pintunya tertutup dgn batu besar. salah seorang bertawassul dgn amalannya seperti berikut: "Ya Allah sesungguhnya aku mempunyai sepupu perempuan yg amat ku cintai. Aku meminta untuk menggaulinya tetapi dia enggan .

Suatu hari dia dlm kesusahan dan meminta kepadaku seratus dinar. Aku pun mencari wang sebanyak yg diminta dan memberinya dgn syarat dia menyerah tubuhnya. Dia pun menyerahkan tubuhnya dlm keadaan terpaksa.

Ketika aku berada dicelah kedua pehanya; dia pun berkata "Hai Abdullah hendaklah kamu bertakwa kpd Allah dan janganlah dicabut dara melainkan dgn pernikahan.

" Lantas aku terus bangkit meninggalkannya bersama wang seratus dinar. Sekiranya engkau tahu aku melakukannya itu kerana Mu ya Allah maka bukalah pintu gua ini." Maka Allah membukanya sebahagian.(Hr Bukhari dan Muslim)

Nabi s.a.w bersabda: "Tuhanmu kagum dgn pemuda yg tidak mengikut keinginan hawa nafsunya." (Hr Ahmad) Pada zaman dulu di kufah, Iraq ada seorang pemuda yg cantik dan sgt kuat beribadat dan melawan hawa nafsu. Pada suatu hari dia tutun bersama kaumnya dan terpandang seorang wanita yg sgt lawa; lalu terpikat dan sgt cinta kpd wanita itu.

Wanita itu juga terpikat dgn pemuda tadi. Pemuda itu terus meminangnya tetapi ditolak kerana dia sudah bertunang dgn sepupunya. Apabila cinta mereka berdua telah membuak-buak sehingga menyiksa batin mereka; wanita itu terus menghantar surat yg tertulis "Sesungguhnya aku telah mengetahui begitu mendalamnya cintamu padaku dan sesungguhnya aku juga teramat mencintaimu.

Jika kamu setuju aku akan menziarahimu ataupun aku akan memudahkan kamu supaya kamu datang berjumpa dgnmu." Lalu si lelaki itu menjawab "Aku tidak memilih salah satu dr 2 pilihan ini. (ayat Quran)aku takut azab pd hari kiamat yg agung sekiranya aku membuat maksiat kpd tuhanku."(15: Al-Anam) aku takut api neraka yg tidak akan terpadam dan tidak hilang kepanasannya.

" Apabila wanita itu mendengar kata2 lelaki tadi terus dia menjawab "Aku merasakan dia memilih demikian kerana dia takut kepada Allah. sepatutnya semua hamba perlu ada sifat takut kepada Allah kerana semua hamba adalah sama." Kemudian wanita itu terus meninggalkan dunia dan beribadat sungguh2.

Walaupun begitu cinta pemuda itu makin memuncak sehingga akhirnya mati kerana cintanya. Pemuda itu menziarahi kubur wanita itu sambil berdoa dan menangis sehinggalah dia tertidur.

Dlm tidurnya dia bermimpi menjumpai wanita itu dlm keadaan yg amat baik sekali. Perempuan itu bertanya "Bagaimana dgn keadaanmu dan apa yg kamu buat setelah kematianku." dan wanita itu mendedangkan satu rangkap syair:

"Sebaik2 cinta wahai permintaanku adalah cinta kpdmu ; cintamu membawa kepada kebaikan dan ihsan" Lelaki itu bertanya "Apa yg engkau dapat sekarang?" Wanita itu menjawab:

"Mendapat nikmat dan kehidupan yg tidak akan hilang di dalam syurga yg kekal dan kerajaan yg tidak akan musnah"

Lelaki itu berkata "Ingatlah aku disana kerana aku tidak melupakanmu." wanita itu menjawab "Demi Allah aku tidak pernah melupakanmu dan aku telah meminta kpd Allah supaya kita dapat disatukan. Hendaklah kamu bersungguh2 utk mendapatku.

" Lelaki itu bertanya "Bila aku boleh berjumpa dgn mu?" Wanita itu menjawab "Engkau bertemu dgn ku tidak lama lagi." Setelah tujuh hari pemuda itu pun meninggal dunia. Semoga Allah merahmatinya.

Marilah kita bersama2 meninggalkan hubungan cinta melainkan setelah kita berkahwin. Jauhkanlah maksiat dan wujudkan hubungan Allah dgn inteam.

-khalifah


sumber: 
 http://idhamlim.blogspot.com


TV tak sesuai untuk budak


NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak.

Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya.

Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik.

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP

Monday 17 October 2011

Semangat tuntut ilmu perlu sentiasa tersemai


Oleh Ustaz Zaman
ISLAM menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan bagi memandu ke arah kecemerlangan di dunia dan akhirat. Semua cita-cita akan sia-sia tanpa ilmu pengetahuan.
Saidina Ali menyatakan: “Sesiapa mengimpikan kehidupan dunia, maka dia perlu berilmu. Sesiapa mengimpikan kehidupan akhirat, maka dia perlu berilmu. Jika kita mengimpikan kedua-duanya, maka kedua-duanya perlukan ilmu pengetahuan.”
Dalam pencarian ilmu pengetahuan, seseorang individu perlu melalui beberapa proses. Baginda SAW bersabda bermaksud: “Jadilah orang berilmu, mempelajari ilmu, mendengar di dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Janganlah kamu menjadi orang yang kelima (tidak termasuk golongan di atas) kerana ia akan membinasakan kamu.” (Hadis riwayat Tabrani)
Katakanlah (wahai Muhamad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka berakal saja dapat menerima pelajaran. Surah Az-Zumar, ayat 9
Ilmu akan dihasilkan dengan kesungguhan di samping penyelidikan serius serta beristiqamah supaya dapat memahami segala yang dipelajari. Masa juga mestilah diperuntukkan untuk majlis ilmu serta mempunyai disiplin tinggi selain suasana kondusif.
Baginda SAW memberi jaminan kemudahan yang disediakan Allah SWT kepada majlis ilmu. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang berusaha mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga.” Baginda menyifatkan majlis ilmu sebagai taman syurga.
Berdamping dengan orang yang berilmu juga adalah salah satu faktor untuk menambah ilmu pengetahuan kerana merekalah yang akan memberi bimbingan serta peringatan berguna di saat kita terlupa.
Pujangga ada menyebut: “Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang mengingati kita di kala kita dalam kealpaan dan seburuk buruk sahabat ialah mereka yang mendiamkan diri ketika kita memerlukan.”
Allah SWT berjanji akan mengangkat martabat serta kedudukan orang yang berilmu pengetahuan. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah akan meninggikan martabat orang beriman dan berilmu di antara kamu dengan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11).
Firman-Nya lagi bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhamad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka berakal saja dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Imam Syafie pernah mengungkapkan kata semangat sebagai panduan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu pengetahuan. Katanya: “Wahai saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali kamu memiliki enam perkara iaitu kepintaran, keinginan, kesungguhan, kerendahan diri (zuhud), menghormati guru serta memerlukan masa panjang.”
Tidak hairanlah jika kita melihat Imam Syafie mengembara ke Iraq, Iran, Mesir dan Makkah al-Mukarramah serta diiktiraf sebagai mufti pada usia 15 tahun.
Masyarakat kita hari ini terdedah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam dunia teknologi maklumat tanpa sempadan. Mereka mestilah dapat membezakan antara ilmu yang benar dan salah. Ilmu membawa kepada keimanan mantap adalah ilmu sebenar yang perlu dipelajari yang akan mendekatkan diri dengan Allah SWT, membentuk peribadi mulia dan kehidupan dipenuhi sifat terpuji.
Masyarakat perlu diberi kesedaran pentingnya ilmu pengetahuan serta dapat menyemaikan sikap rajin membaca bermula dari alam kanak-kanak sehinggalah mereka dewasa. Media cetak serta elektronik mestilah memainkan peranan mencetuskan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.
Ilmu dipelajari mestilah disusuli dengan amalan serta pelaksanaan baik kerana kata tanpa amalan, akan mengundang kebencian Allah SWT.
Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman kenapa kamu berkata sesuatu yang kamu tidak lakukan. Sangat dibenci Allah jika kamu tidak amalkan apa yang kamu perkatakan.” (Surah As-Saff, ayat 2-3)
Ilmuwan sebenar ialah yang merasakan kekerdilan mereka apabila semakin jauh dalam kancah ilmu pengetahuan. Mereka akan mendapati kejahilan semakin menghantui dan banyak perlu dipelajari dalam kehidupan ini.
Firman Allah SWT bermaksud: “Seandainya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena serta semua lautan menjadi tinta dan ditambah lagi dengan tujuh lautan, nescaya tidak akan habis ilmu pengetahuan itu diterokai. Sesungguhnya Allah maha berkuasa lagi bijaksana.” (Surah Lukman, ayat 27).

Sunday 16 October 2011

60,000 pelajar hadap FB 4 jam sehari ?


azlanAnggota Parlimen Arau Datuk Ismail Kasim melahirkan rasa bimbang dengan fenomena masa kini yang menunjukkan ramai pelajar di negara ini menghabiskan masa melayari laman sosial tanpa kawalan dan mendapatkan maklumat yang diragui daripadanya.

Ada kajian menunjukkan lebih 60,000 pelajar menghadap komputer lebih empat jam sehari semata-mata untuk melayari laman sosial termasuk facebook, katanya tanpa menyatakan sumber kajian itu.

Bercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan karaoke 1Malaysia di Kampung Kebun, Arau dekat Kangar malam tadi, beliau bimbang fenomena itu akan merugikan masa depan mereka.

Ismail berkata, ada pelajar yang berterusan membuang masa dengan laman sosial meskipun di saat menghadapi peperiksaan penting.

Antara kesan negatif melayari laman sosial tanpa kawalan termasuk ada kes pelajar lari daripada rumah kerana ingin bertemu rakan barunya yang dikenali dalam laman itu selain kemerosotan pelajaran, katanya.

Ismail yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Arau juga bimbang dengan sikap orang ramai yang gemar mendapatkan maklumat mengenai perkara terkini melalui sumber yang diragui di internet.

Menurutnya, mereka sepatutnya mematangkan diri dengan mendapatkan maklumat sebenar mengenai negara dan sesuatu perkara melalui media arus perdana dan sumber yang sebenarnya.

-- Bernama

Wednesday 12 October 2011

Kanak-kanak, remaja layari internet 19 jam seminggu


Assalamu'alaikum...

Sehari dua ni penulis cukup-cukup terkejut dan gusar dengan apa yang berlaku di sekolah-sekolah, yang mana apa yang berlaku ini tidak sepatutnya dilakukan oleh golongan remaja terutama sekali di sekolah rendah.

Penulis tertanya, bagaimana perkara-perkara yang boleh dikatakan  18SX atau lebih lagi boleh berlaku pada murid-murid yang boleh dikatakan masih belum baligh ini? adakah faktor guru-guru tidak mengajar mereka? adakah ibubapa tidak memberi didikan agama kepada mereka? adakah disebabkan pengaruh rakan-rakan sekitar mereka atau adakah disebabkan pengaruh oleh media elektronik yang semakin membarah dalam jiwa anak muda zaman ini?

Apa pun alasan, tidak kira lah kita sebagai guru, atau ibubapa, atau masyarakat, hendaklah kita prihatin terhadap masalah yang sedang merebak ini. 
_________________________________________________________________________

Kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton Online Family Report 2010, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan kanak-kanak "Child Online Protection" di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat berkata kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.

"Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin 'IT savvy' setanding dan konsisten dengan trend antarabangsa, dan kebarangkalian pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk kanak-kanak," katanya.

Berikutan kebimbangan mengenai ancaman siber terhadap kanak-kanak dan remaja, katanya kementerian dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, SKMM, Polis DiRaja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) menganjurkan seminar hari ini bagi membincangkan rangka kerja dasar dan perundangan untuk melindungi mereka.

Menurutnya langkah itu susulan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan Kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak pada September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Prof Datuk Husin Jazri berkata CyberSecurity Malaysia menerima 11,930 insiden keselamatan siber pada Januari hingga September tahun ini dengan 4,175 daripadanya melibatkan penipuan.

Beliau berkata jumlah itu meningkat 130 peratus berbanding 2010.
Bagi insiden keselamatan siber lain, beliau berkata spam mencatatkan 3,452 kes, pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), percubaan menceroboh (525), gangguan siber (354) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

"Pertambahan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang. Jumlah ini terus meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar," katanya.

- Bernama

article yang berkaitan untuk dibaca: Bahaya Internet Pada Kanak-kanak

Rakan Blog