Showing posts with label kelebihan ilmu. Show all posts
Showing posts with label kelebihan ilmu. Show all posts

Wednesday, 9 January 2013

Belajar : Bagaimana Mendapatkan Keberkatan? | iluvislam.com discover the beauty of islam

Mungkin jarang antara kita yang tidak tahu tips-tips belajar daripada 'salafus soleh' terdahulu. Semua tahu bukan apa itu berkat?

Sesuatu yang tidak boleh dilihat, tetapi dengan berkat itu, kita boleh berasa tenang dan bahagia sentiasa walaupun separuh dunia berada di bahu kita.
TIPS BELAJAR
1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ini kerana Allah S.W.T.
Setiap kali mahu keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah S.W.T. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu.
Jangan rasa tertekan jika kelas bermula seawal jam lapan pagi dan habisnya pula dalam pukul lima petang. Tetapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ini, Malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tidak akan rasa terlalu tertekan jika kelas itu tersangatlah lama.
2) Disiplinkan diri.
Setiap kali mahu study, mesti baca satu muka surat al-Quran sebelum bermula waktu study itu. Jadi, pasti kita tidak tinggalkan al-Quran walau sesibuk mana pun kita. Ustazah ada cerita satu kisah yang sangat memberi inspirasi.
Ada seorang budak perempuan di Arab Saudi yang mayatnya tidak hancur, walaupun sudah lebih dua tahun dia meninggal dunia. Ramai yang pelik kerana budak itu masih kecil, dalam umur 15 tahun. Jadi, ada yang pergi pada kedua ibu bapa budak itu dan bertanya, apakah amalan budak perempuan ini.
Ibunya menjawab, saya tidak tahu apa yang istimewa anak saya lakukan, cuma saya tahu dia sangat menjaga al-Quran. Setiap kali sebelum belajar, dia pasti akan baca satu muka surat ayat-ayat al-Quran, memang tidak pernah tinggal. Jadi, budak sekecil ini pun boleh baca satu muka surat setiap kali sebelum belajar, kita yang besar panjang ini mustahil tidak mampu bukan? Orang yang hebat tidak akan memberi alasan, tetapi dia sentiasa cari jalan.
3) Kembalikan caj-caj positif dalam diri supaya tiada ruang untuk Syaitan menghalang kita menuntut ilmu.
Apaila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasaputus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut waktu menjelang peperiksaan.
Jadi, apa kata kita cuba tips daripada 'salafus soleh' terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhuk dan solat sunat dua rakaat.Jika kita seperti ini, sekurang-kurangnya dapat perbaharui wudhuk sudah memadai.
4) Utamakan seruan Allah S.W.T.
Part paling penting! Apabila sedang khusyuk study, tiba-tiba azan berkumandang. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:
"Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema'ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya."
Jadi, setiap kali rasa berat punggung mahu berhenti study untuk solat, ingat kembal, jika aku mahu dijemput oleh Allah S.W.T di Akhirat kelak, aku perlu utamakan solat dahulu daripada kerja lain. Mana kita tahu bukan, kita lagi rasa mudahapabila belajar selepas selesai solat itu. Inilah namanya berkat. Apabila kita utamakan Allah S.W.T daripada benda lain.
5) Jangan lupa membaca doa dan ambillah wudhuk sebelum mula belajar.

Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.
.............................................................
Kesimpulannya, selamat beramal. Cubalah praktis tips belajar ini, matlamat kita bukanlah cemerlang dalam belajar semata, tetapi kita juga mahu keberkatan daripada Allah S.W.T.Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu).
Jadilah seperti Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tetapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan membaca al-Quran.
Buat pemburu dunia, jangan pula kita memberi alasan, mereka tidak sama macam kita, Iman mereka mantap kerana Rasulullah S.A.W ada di sisi. Kita tidak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas.

Monday, 17 October 2011

Semangat tuntut ilmu perlu sentiasa tersemai


Oleh Ustaz Zaman
ISLAM menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan bagi memandu ke arah kecemerlangan di dunia dan akhirat. Semua cita-cita akan sia-sia tanpa ilmu pengetahuan.
Saidina Ali menyatakan: “Sesiapa mengimpikan kehidupan dunia, maka dia perlu berilmu. Sesiapa mengimpikan kehidupan akhirat, maka dia perlu berilmu. Jika kita mengimpikan kedua-duanya, maka kedua-duanya perlukan ilmu pengetahuan.”
Dalam pencarian ilmu pengetahuan, seseorang individu perlu melalui beberapa proses. Baginda SAW bersabda bermaksud: “Jadilah orang berilmu, mempelajari ilmu, mendengar di dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Janganlah kamu menjadi orang yang kelima (tidak termasuk golongan di atas) kerana ia akan membinasakan kamu.” (Hadis riwayat Tabrani)
Katakanlah (wahai Muhamad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka berakal saja dapat menerima pelajaran. Surah Az-Zumar, ayat 9
Ilmu akan dihasilkan dengan kesungguhan di samping penyelidikan serius serta beristiqamah supaya dapat memahami segala yang dipelajari. Masa juga mestilah diperuntukkan untuk majlis ilmu serta mempunyai disiplin tinggi selain suasana kondusif.
Baginda SAW memberi jaminan kemudahan yang disediakan Allah SWT kepada majlis ilmu. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang berusaha mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga.” Baginda menyifatkan majlis ilmu sebagai taman syurga.
Berdamping dengan orang yang berilmu juga adalah salah satu faktor untuk menambah ilmu pengetahuan kerana merekalah yang akan memberi bimbingan serta peringatan berguna di saat kita terlupa.
Pujangga ada menyebut: “Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang mengingati kita di kala kita dalam kealpaan dan seburuk buruk sahabat ialah mereka yang mendiamkan diri ketika kita memerlukan.”
Allah SWT berjanji akan mengangkat martabat serta kedudukan orang yang berilmu pengetahuan. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah akan meninggikan martabat orang beriman dan berilmu di antara kamu dengan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11).
Firman-Nya lagi bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhamad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka berakal saja dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)
Imam Syafie pernah mengungkapkan kata semangat sebagai panduan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu pengetahuan. Katanya: “Wahai saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali kamu memiliki enam perkara iaitu kepintaran, keinginan, kesungguhan, kerendahan diri (zuhud), menghormati guru serta memerlukan masa panjang.”
Tidak hairanlah jika kita melihat Imam Syafie mengembara ke Iraq, Iran, Mesir dan Makkah al-Mukarramah serta diiktiraf sebagai mufti pada usia 15 tahun.
Masyarakat kita hari ini terdedah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam dunia teknologi maklumat tanpa sempadan. Mereka mestilah dapat membezakan antara ilmu yang benar dan salah. Ilmu membawa kepada keimanan mantap adalah ilmu sebenar yang perlu dipelajari yang akan mendekatkan diri dengan Allah SWT, membentuk peribadi mulia dan kehidupan dipenuhi sifat terpuji.
Masyarakat perlu diberi kesedaran pentingnya ilmu pengetahuan serta dapat menyemaikan sikap rajin membaca bermula dari alam kanak-kanak sehinggalah mereka dewasa. Media cetak serta elektronik mestilah memainkan peranan mencetuskan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.
Ilmu dipelajari mestilah disusuli dengan amalan serta pelaksanaan baik kerana kata tanpa amalan, akan mengundang kebencian Allah SWT.
Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman kenapa kamu berkata sesuatu yang kamu tidak lakukan. Sangat dibenci Allah jika kamu tidak amalkan apa yang kamu perkatakan.” (Surah As-Saff, ayat 2-3)
Ilmuwan sebenar ialah yang merasakan kekerdilan mereka apabila semakin jauh dalam kancah ilmu pengetahuan. Mereka akan mendapati kejahilan semakin menghantui dan banyak perlu dipelajari dalam kehidupan ini.
Firman Allah SWT bermaksud: “Seandainya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena serta semua lautan menjadi tinta dan ditambah lagi dengan tujuh lautan, nescaya tidak akan habis ilmu pengetahuan itu diterokai. Sesungguhnya Allah maha berkuasa lagi bijaksana.” (Surah Lukman, ayat 27).

Rakan Blog