Sunday, 22 May 2011

Uji bakat program Adik-Adikku di Karnival Halal

KOTA BHARU – Karnival Halal Kelantan yang berlangsung pada hujung Mei ini bukan sahaja menyajikan acara berkaitan produk dan perkhidmatan halal malah turut menjadi medan kanak-kanak berpidato bagi sesi uji bakat program televisyen, Adik-Adikku.

Lebih menarik, sesi tersebut merupakan uji bakat pembuka tirai pencarian peserta rancangan kanak-kanak bercorak pidato keagamaan yang kian popular bagi musim ketiga itu.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yasmin Yusoff, selain di lokasi Karnival Halal Kelantan, acara sesi uji bakat pertama juga diadakan serentak pada satu acara di Kedah.

Uji bakat Adik-Adikku dijangka berlangsung pada 28 Mei ini di Dewan Besar, Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

“Ia terbuka kepada kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun. Mereka perlu membawa dua foto berukuran pasport serta sijil kelahiran,” katanya.

Tambahnya, ketika uji bakat, kanak-kanak akan diuji kebolehan mereka menyampaikan pidato, membaca al-Quran, bertaranum, bernasyid, pengetahuan agama Islam dan pengetahuan am.

“Untuk sesi pidato, semua peserta bebas memilih topik sendiri. Mereka diminta mempersembahkan pidato selama kira-kira tiga minit,” katanya.

Karnival Halal Kelantan 2011 yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dengan kerjasama Jakim akan diadakan di Kompleks Islam Darul Naim, Kota Bharu selama tiga hari bermula 28 Mei.

Karnival ini bakal menyediakan 80 gerai pameran dengan pelbagai aktiviti menarik seperti seminar panduan restoran halal serta pensijilan halal untuk industri perhotelan.

Mereka yang berminat untuk menjadi penyewa ruang pameran, lengkapkan borang yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! dan faks ke 03-21661148 atau hubungi 03-21711128 untuk maklumat lanjut.

Sumber: KOSMO

0 comments:

Post a Comment

Rakan Blog