Wednesday, 17 November 2010

MEMBENTUK ANAK PINTAR DAN TINGGI AKHLAKNYA.

anak_soleh1


  Anak Soleh sentiasa mendoakan ibu bapanya.
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah  S.W.T yang cukup berharga kepada Ibu bapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan  sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.
Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.
Sabda Rasulullah s.a.w :
" اِذَا مَاتَ ابْنِ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلُهُ اِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْلَهُ ".

Maksudnya :  “  Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.
Membaca ayat-ayat Al-Quran“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati tenang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan dan menjadi amalan seharian.
Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka terutama fardhu ain dan fardhu kifayah.
Proses mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap  ibu bapa. Dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
 Amalan- amalan semasa mengandung dan setelah melahirkan:• Sewaktu mengandung, kedua-dua ibu bapa mestilah sentiasa mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. 
• Sewaktu bayi masih dalam kandungan ibu bapa hendaklah meningkatkan amal ibadah khususnya berpuasa sunat, membaca al-Quran terutama surah-surah Yusuf, Maryam, Toha, Luqman dan surah-surah pilihan yang lain. 
• Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah al-Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. 
• Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur. 
• Setelah anak dilahirkan, bersegeralah diazankan serta iqamat tanpa bertangguh sebelum bayi itu mendengar perkataan-perkataan lain. 
• Bukakanlah mulut bayi dengan air zam-zam yang sangat berkat itu. 
• Biarkan anak itu dipangku oleh orang-orang soleh dan terus didoakan. Itulah sebabnya ibu bapa mesti terlebih dahulu menjadi soleh sebelum mendapat anak yang soleh. 
• Hendaklah diperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran sebanyak mungkin semasa bayi itu masih lagi baru dilahirkan. Cubalah ajar bayi itu menyebut “Haq” (salah satu nama Allah ialah al-Haq). Ramai yang mencuba, mendapati bayi yang tidak mengerti apa-apa itu dapat menyebut kalimah “Haq”. Sungguh ajaib (hendaklah dilakukan oleh orang yang soleh). 
• Ibu yang menyusu anak itu hendaklah mengelakkan makanan dari sumber yang haram dan syubahat. 
• Anak-anak hendaklah membesar dalam suasana yang diwarnai Islam, serta jangan membiarkan anak-anak berkawan dengan rakan-rakan yang tidak baik akhlaknya
    
Rahsia pemakanan ilmuwan Islam1. Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘Shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan bekerja  seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam. 
2. Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari. 
3. Susu segar - Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam. 
4. Telur - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya kerana ia berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru. 
5. Halia - Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa dimakan sedikit saja pada waktu pagi. 
6. Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”
Kesimpulan :Anak yang pintar dan yang soleh mudah dibentuk dengan sering mengamalkan membaca ayat-ayat al-Quran bermula sejak dari dalam kandungan ibu. Pemakanan yang berkhasiat juga dapat mencerna dan membentuk kesihatan yang baik untuk bayi dalam kandungan. Maka akan lahirlah bayi yang cerdas mindanya, baik tingkah lakunya dan dapat membentuk anak yang soleh dan tinggi nilai akhlaknya.
Suntingan dari sumber :  Jabatan Agama Islam Selangor
                                           Buku Anak Kita Memang Pintar dan Cerdas
                                           ( Hassan Mohd Alias)   

0 comments:

Post a Comment

Rakan Blog